Salam sejahtera warga Malaysia...
Alhamdulillah, dengan terhasilnya blog Mata Hati Malaysia maka diharapkan bakal menyatukan seluruh mata hati warga Malaysia dari seluruh tanah air. Persatuan Mata Hati Malaysia (PMHM) diperkenalkan bagi mengfokus kepada kerjasama, keprihatinan dan semangat patriotik warga Malaysia dalam menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negara dalam aspek berteraskan kebersihan, kehijauan dan keselamatan alam sekitar. PMHM ini yang telah ditubuhkan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) pada 20 November 2014 bertujuan untuk
melaksanakan program sukarelawan bagi menjelaskan konsep mata hati dalam
melihat semua kejadian dan peristiwa dengan hati yang insaf serta penuh
kesedaran khususnya tentang kegiatan manusia yang boleh menyebabkan
bencana. Tidakkah anda sedar bahawa setiap perlakuan kita seharian banyak menyentuh soal persekitaran disekeliling kita. Samada di rumah, pejabat, sekolah, tempat awam mahupun di mana jua kita berada. Ungkapan 'mata hati' menyimpan satu identiti tentang diri kita terhadap apa yang kita lakukan. Segalanya memerlukan penilaian mata hati yang lahir dari hati dan bukannya sekadar penilaian luaran kaca mata kita sahaja. Nilailah sesuatu itu dengan harapan bahawa ia akan memberi sesuatu makna berharga kepada kita pada masa kini dan akan datang. Ibaratnya melihat alam sekitar hijau dan bersih di Malaysia yang semakin hari semakin hilang sinar jika kita tidak bersama-sama menjaganya. Marilah sama-sama menjalinkan hubungan erat bersama PMHM dalam menyebar luas identiti kebersihan di Malaysia.
